| SEKAPUR
SIRIH SEULAS PINANG
Assalamualaikum
dan salam sejahtera
Alhamdulillah,
saya memanjatkan setinggi kesyukuran kehadrat Allah SWT di
atas anugerahnya, mengizinkan saya menyampaikan sepatah dua
kata bagi hompej ini. KESKA telah pun menjangkau satu dekad
usianya. Seperti sedia maklum KESKA bukan setakat sebuah
kesatuan sekerja tetapi adalah jemaah dan melaksanakan
tanggungjawab untuk menggerakkan aktiviti ahli-ahli di dalam
semua bidang.
Dengan itu
para pendukung KESKA, semua peringkat hendaklah memantapkan
perpaduan, daya tahan, jihad dan sebagainya demi kekuatan
KESKA, Insyaallah.
Seksyen 2,
Akta Kesatuan Sekerja 1959 mengiktiraf penubuhan kesatuan
sekerja untuk menjaga kebajikan pekerja. Kesatuan juga
memainkan peranan yang penting dalam konsep rakan kongsi
bijak atau perhubungan majikan pekerja seperti YAB Perdana
Menteri sendiri memberi pengiktirafan yang tinggi terhadap
kesatuan sekerja dan sedia berbincang dan berdialog bagi
menyelesaikan sesuatu isu.
Penubuhan
kesatuan sekerja memberi ruang kepada pekerja memperjuangkan
hak, kehidupan berkelompok, berkumpulan dan berpasukan
adalah kecenderungan semulajadi manusia. Malah agama Islam
sendiri menggalakkan kerjasama, muafakat, ihsan dan tolong
menolong antara satu sama lain.
Hak-hak umum
pekerja seperti berikut:
i) Memelihara
keselamatan jiwa ii) Memelihara maruah iii) Memelihara
kehormatan wanita iv) Mendapat/menegakkan keadilan dan
memerangi kezaliman v) Mempertahankan kebebasan bersuara,
berkumpul dan menubuhkan kesatuan vi) Memperolehi keperluan
asas vii) Mengetahui syarat-syarat dan keadaan kerja.
Islam
menghendaki kaum pekerja diberi layanan yang sewajarnya,
hendaklah diwujudkan langkah-langkah perlu diambil untuk
melindungi pekerja dari bahaya pekerjaan.
Tanggungjawab
seorang pekerja terhadap majikannya untuk melakukan
pekerjaan dengan baik kerana beliau memegang amanah
majikannya. Saya menyeru diri saya dan semua ahli marilah
kita sama-sama mematuhi segala peraturan yang sedia ada,
disiplin adalah segalanya buat sempadan diri kita semua.
Saya berharap
KESKA mendapat komen/teguran yang membina dari semua pihak,
baik pekerja sendiri maupun majikan. Segala masalah boleh
disalurkan kepada KESKA dan akan disampaikan kepada pihak
pengurusan. Saya mengambil kesempatan mengucapkan ribuan
terima kasih kepada Pengarah Pusat Komputer dan warga kerja
Unit Multimedia yang banyak membantu menyediakan laman web
KESKA ini.
"PEKERJA
BERILMU NEGARA MAJU"
"BERSATU BERSAMA UNIVERSITI"
Saya yang
menjalankan tugas
KU AZMI
BIN KU IBRAHIM
Yang Dipertua Kesatuan Kakitangan
(KESKA)
|